Thursday 31 January 2013

SISTEM TANGGAM


Dalam binaan rumah warisan Melayu, kaedah tanggam merupakan cara sambungan kayu atau satu kaedah yang menggabungkan setiap bahagian tunggal bangunan supaya membentuk satu ikatan atau jalinan rangka yang teguh. Ini adalah kerana kekuatan keseluruhan kerangka bangunan bergantung pada kualiti jalinan kaedah tanggam. Namun begitu, alat-alat pertukangan tradisional seperti beliung, kapak, baji, pahat, ketam kayu, penukul kayu dan gergaji alang membantu dalam pembuatan kaedah tanggam warisan.


Sebelum kaedah memaku menggunakan paku logam sebagai pilihan penyambungan diperkenalkan, tanggam warisan telah memainkan peranan yang sangat penting sebagai satu kaedah menyambung bahagian bangunan yang lengkap. Dalam pembinaan rumah warisan Melayu, kepentingan kaedah tanggam sudah tidak dapat dinafikan lagi kerana tanpa tanggam bangunan ini tidak dapat didirikan.

Bagi kaedah tanggam yang direka bentuk dengan baik dan dibantu pula dengan pembuatan yang kemas dan berhati-hati, bahagian bangunan yang telah lengkap dan siap dipasang boleh dibuka atau ditanggalkan satu persatu untuk tujuan pengubahsuaian dan boleh dipasang semula.


Kelebihan ini bersesuaian dengan cara hidup bermasyarakat Melayu terdahulu yang mengambil kira pelbagai nilai seperti adat, kehidupan beragama, kekeluargaan dan kemewahan dan sumber rezeki. Pengubahsuaian dan perubahan cara hidup yang dapat dilakukan dengan wujudnya kaedah tanggam ini termasuklah aktiviti perpindahan tapak rumah, penambahan modul rumah, pemecahan bahagian rumah, pengubahsuaian kerangka dan butiran, pengurangan ruang hinggalah penukaran aras lantai tanpa perlu membuang atau merosakkan bahagian binaan.

No comments:

Post a Comment